PAKATAN HARAPAN : LANGKAH AWAL SATUKAN PEMBANGKANG

KENYATAAN MEDIA

PAKATAN HARAPAN: LANGKAH AWAL MENYATUKAN PARTI PEMBANGKANG, NGO DAN RAKYAT

www.amanahnegara.org

Di atas kehendak rakyat, maka pada tahun 2008, berlakulah perpaduan di antara rakyat, parti-parti politik, NGO. Pada pilihan raya itu, keputusannya semua diketahui iaitu parti-parti pembangkang dapat menguasai lima negeri dan menafikan dua pertiga majoriti Barisan Nasional di parlimen.

Tanggal 1 April 2008, tarikh yang bersejarah bagi Malaysia, apabila wujudnya Pakatan Rakyat yang secara rasminya parti-parti pembangkang yang utama dapat bersatu dan disokong oleh orang ramai khasnya NGO.

Hasil kerjasama tersebut, pada pilihanraya 2013, Pakatan Rakyat dapat memperolehi undi majoriti rakyat Malaysia iaitu sebanyak 52% undi popular.

Berlaku perbalahan dingin di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan akhirnya ia ‎berkecai pada muktamar PAS Jun lalu, apabila parti itu melalui satu usul, telah memutuskan hubungan dengan DAP.

Kesannya, persepakatan antara parti-parti pembangkang menjadi terumbang-ambing. Ia ditambah dengan perbalahan dingin yang berlangsung lebih daripada dua tahun, maka tiga bulan selepas Muktamar itu iaitu pada 22 September, lahirlah PAKATAN HARAPAN.

Ia merupakan satu langkah awal yang berani yang dilakukan parti-parti pembangkang yang mahu bersatu semula untuk membentuk muafakat politik baharu.

Langkah awal ini perlu diikuti dengan dialog dan perbincangan terus menerus dan serius dengan parti-parti politik yang ingin bersama PAKATAN HARAPAN dan perbincangan tertutup dan terbuka dengan NGO's yang ingin memberi pandangan, kritikan serta teguran kepada PAKATAN HARAPAN.

Sesungguhnya rakyat mahu melihat arah tuju PAKATAN HARAPAN dan yang paling penting manifesto rakyat menjelang PRU14. Maka pandangan semua pihak termasuk NGO, orang perseorangan atau kesatuan, perlu dikutip agar manifesto yang akan dihasilkan benar-benar mantap dan dijulang secara bersama.

Bagi Parti Amanah Negara (AMANAH), saya menyeru kepada semua ahli dan penyokong dan mereka yang bersimpati, untuk terus berusaha memantapkan PAKATAN HARAPAN dan melebarkan  pengaruh serta menyebarkan segala maklumat yang betul dalam memberi pengharapan kepada rakyat untuk membuat perubahan, terutama dengan keadaan Malaysia sekarang yang cukup parah khasnya dari sudut ekonomi dan perkauman.

Kita juga mengharapkan semua parti-parti pembangkang yang lain dan juga NGO's agar turut bersama dalam usaha menyelamatkan Malaysia dan membebaskan penderitaan rakyat  yang semakin menjdi-jadi akibat salah laku, rasuah yang menjadi budaya baharu di negara ini.

HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara (AMANAH)
26 September 2015
12 Zulhijjah 1436H

Comments

Anonymous said…
toalk islam xper...tolak melayu jgn sekali...rahmatan lil alamin